Manusia Unggul

Kita selalu disogokkan dengan kenyataan bahawa kita merupakan individu yang terbaik kerana dalam berjuta-juta sperma, hanya satu sahaja yang mampu mensenyawakan ovum, dan setelah melalui beberapa peringkat maka jadilah kita seadanya. Walaupun kita terhasil daripada sperma itu, adakah semasa diperingkat sperma itu dengan daya usaha kita sendiri kita mampu untuk memastikan kita adalah sperma yang terpilih itu?
Sedarkah kita bahawa setiap kejadian yang berlaku itu adalah mengikut ketatapan Allah sejak azali lagi dan tertulis di Luh Mahfuz. Kita asalnya adalah sesuatu yang dahulunya tiada dan tidak pernah disebut tetapi akhirnya dengan ketentuan Allah SWT maka lahirlah kita sebagai firman Allah:
Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda Yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat). Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani Yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat.
Surah Al-Insan (1-2)
Dalam ayat lain dinyatakan bahawa walaupun dikurniakan dengan sifat mendengar dan melihat tetapi manusia tetap tidak mematuhi perintah Allah SWT walhal telah jelas bukti kekuasaanNya, Allah SWT mengumpamakan mereka ini seperti binatang ternak sebagaimana firmanNya:
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia Yang mempunyai hati (Tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan Yang mempunyai mata (Tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan Yang mempunyai telinga (Tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang Yang lalai.
Surah Al-A’raf (179)

Berbalik kepada kejadian manusia daripada sperma dan ovum tadi, kemajuan sains dan teknologi telah memungkinkan persenyawaan tersebut berlaku di luar rahim (in vitro). Teknologi ini digunakan bagi mengatasi masalah kesuburan terutamanya bagi pasangan yang gagal mendapat zuriat melalui kaedah biasa. Salah satu daripada teknik ini dipanggil suntikan intracytoplasmik (intracytoplasmic injection atau ringkasannya ICSI). Melalui kaedah ini, satu sperma akan dipilih dan disuntik ke dalam ovum lalu berlakulah proses persenyawaan sehingga ke beberapa peringkat sebelum dipindahkan ke dalam rahim ibu. Apa yang ingin ditekankan di sini adalah kualiti sperma yang disuntik tidak semestinya berkualiti dari segi pergerakannya, sifatnya dan sebagainya. Hal ini tidak sama dengan persenyawaan secara semulajadi kerana hanya sperma yang berkualiti akan mampu mempersenyawakan ovum.
Walaupun teknologi ini masih memerlukan kajian dan berkos tinggi, ia tidak mustahil akan digunakan secara meluas pada masa akan datang. Dalam perkara ini, boleh dikatakan bahawa kehebatan manusia berdasarkan sperma tidak lagi relevan jika dinilai dari segi kualiti sperma yang digunakan dalam teknik tersebut seperti yang telah dinyatakan. Jadi apakah yang dapat menentukan unggulnya manusia itu?
Hal ini telah dinyatakan loeh Allah SWT dalam firmanNya seperti berikut:
………Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
Surah Al-Hujuraat (13)
Sebagai kesimpulannya, taqwa merupakan kayu ukur yang paling tepat bagi menentukan keunggulan atau kemulian seseorang manusia terutamanya disisi Allah SWT.

Advertisements

Leave a comment

Filed under 1

Alangkah Beruntungya Menjadi Wanita

Tahukah anda seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang lelaki yang soleh? Sebaiknya wanita yang jahat adalah lebih buruk daripada 1000 lelaki yang yang jahat. Dapatkah anda bayangkan bagaimana hasil daripada ukuran ini?
Adalah cukup menyedihkan apabila ada di antara wanita yang tidak ingin hamil setelah berkahwin. Hatta setelah anak itu lahirpun, perasaan kasih sayang itu tidak juga timbul dari lubuk hatinya. Ada juga yang ingin menggugurkan kandungan kerana takut bersalin – takut hilang pinggang dan hilang kecantikan.
Ternyata mereka ini tidak tahu bahawa solat dua rakaat wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil. Ganjaran seorang yang tidak dapat tidur kerana menjaga anak yang sakit akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba. Lebih dari itu, wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa. Setiap kesakitan pada uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji.
Jika tidak, pasti mereka tidak melakukan perkara tersebut, bukan? Bukan.
Habuan yang sangat lumayan ini tidak dapat dilihat oleh manusia. Tidak hairanlah betapa ramai yang tidak ambil peduli kecuali hanya yang meyakini bahawa janji Allah itu benar.Firman Allah SWT:

Alif, Laam, Miim.Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa;Iaitu orang-orang Yang beriman kepada perkara-perkara Yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada mereka.(al-Baqarah 1-3)

23127-muslimah1

Tidak cukup dengan itu, seorang isteri yang melayani suaminya yang pulang ke rumah dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad. Wanita yang menjaga solat, puasa dan taat pada suami akan diizin Allah untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang disukainya.

Wallahuallam.

2 Comments

Filed under 1

Bagaimana Allah Mendidik Rasulullah Dengan Al-Quran

Rasululullah SAW merupakan contoh dan tauladan yang paling layak diikuti oleh setiap muslim kerana baginda mendapat didikan dari Allah SWT melalui Al-Quran. Baginda sering berdoa agar Allah menghiaskan dirinya dengan akhlak yang mulia:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Elokkanlah kejadianku dan budi pekertiku!”

quraan

Al-Quran telah mendidik baginda supaya

1.Bersifat pemaaf, suka mengajak orang ke jalan kebaikan serta tidak mengendahkan kata-kata orang yang jahil sebagaimana firman Allah Taala:

Berilah kemaafan, dan suruhlah dengan perkara Yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang Yang jahil (yang degil Dengan kejahilannya). (al-A’raf:199)

2.Melaksanakan keadilan, melakukan kebaikan kepada orang ramai, menolong kaum kerabat, melarang melakukan kemungkaran dan kekejian seperti firman Allah Taala:

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan Yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya. (an-Nahal 90)

3. Sentiasa bersabar dalam segala hal:

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya. (Luqman 17)

4. Bersifat pemaaf

Maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang Yang berusaha supaya baik amalannya. (al-Maidah 13)

5. Menolak kejahatan dengan kebaikan

Mereka itu akan beroleh pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka; dan juga kerana mereka menolak kejahatan Dengan kebaikan, dan mereka menderma dari apa Yang Kami kurniakan kepada mereka. (al-Qasas 28)

6. Menahan marah serta memaafkan orang lain

Iaitu orang-orang Yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang Yang menahan kemarahannya, dan orang-orang Yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang Yang berbuat perkara-perkara Yang baik; (ali-Imran 134)

7. Meninggalkan sangkaan buruk, tidak mengintip-intip atau mengeji oang lain:

Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (al-Hujurat 12)

Demikianlah Allah memberi bimbingan kepada insan pilihanNya untuk diikuti oleh seluruh umat manusia. Tidak dinafikan bahawa budi pekerti yang luhur yang terbit hasil daripada didikan Al-Quran ini telah membina peribadi yang mapan pada diri Rasulullah SAW itu sehingga mendapat sanjungan bukan sahaja daripada umat islam malah juga dari kalangan sarjana bukan Islam. Justeru, berakhlaklah dengan akhlak Al-Quran kerana ia merupakan contoh akhlak yang terbaik.

Diubahsuaikan daripada kitab Bimbingan Mukmin karya Al-Imam Al-Ghazali rahimahullah.

Leave a comment

Filed under 1

Sifat Pemaaf

Suatu hari Anas bin Malik r.a serta para sahabat yang lain duduk disisi Rasulullah SAW melihat baginda tersenyum secara tiba-tiba sehingga kelihatan gigi, lalu Anas bertanya:

“Apakah yang meyebabkan Rasulullah tersenyum gembira”.

“Yang menyebabkan aku tersenyum kerana ada dua orang di kalangan umatku diakhirat, keduanya merangkak di hadapan Allah SWT kerana memohon pengadilan terhadap kes yang melibatkan mereka berdua.

Seorang darinya merayu :Wahai Tuhan, tolonglah balas terhadap orang ini, sesungguhnya dia sangat zalim dan telah menzalimi aku ketika di dunia dahulu dengan pelbagai perbuatan.

Lalu Allah memerintahkan orang yang zalim itu membayar ganti rugi sebagai penyelesaian tetapi orang itu tidak dapat berbuat demikian kerana tidak ada suatupun yang boleh digunakan untuk membayar tuntutan tersebut.

Lalu dia berkata: Dengan apakah aku hendak membayarnya sedangkan tiada satupun kebaikan yang tinggal, semua telah habis dituntut orang.
Ketika itu, orang yang kena zalim itu meinta agar orang zalim itu mengambil kejahatan dan dosa yang ada pada dirinya.

Pada ketika itu Rasulullah menitiskan air mata.

“Lelaki yang melakukan kezaliman itu ingin membayar tetapi tidak terdaya kerana sudah tidak ada apa-apa yang tinggal untuk dirinya”.Jelas nabi kepada Anas.

“Sesungguhnya itulah suatu hari yang sangat dahsyat sehingga sampai ke suatu peringkat manusia mencari orang lain untuk memikul dosanya”.Jelas Rasulullah lagi.

Ketika dua orang tersebut sedang berbalah lalu Allah SWT memperlihatkan sebuah mahligai di dalam syurga:

“Tidakkah kamu melihat mahligai itu?” Ujar Allah kepada manusia yang kena zalim itu.

kota-istana-mahligai

“Ya, saya nampak sebuah mahligai yang diperbuat dari emas dalam sebuah taman dari perak, untuk siapakah itu wahai Allah?Mungkin untuk nabi-nabi atau syuhada atau mungkin juga untuk golongan siddiqin?”Ujar orang itu.

“Mahligai untuk sesiapa saja yang sanggup harganya”.Jelas Allah lagi.

“Jika demikian adalah ustahil saya dapat memilikinya kerana saya tidak punya apa-apa disini untuk membayar harga mahligai emas itu”ujar manusia itu lagi.

“Justeru kamu masih berpeluang memilikinya kerana kamu masih memiliki barang bernilai yang dapat membayar mahligai itu”.

“Bagaimana caranya?”tanya orang itu dengan penuh rasa ingin tahu.

“Iaitu sekiranya kamu sedia memaafkan rakan kamu dan tidak menuntutnya memikul dosa kamu”. Jelas Allah SWT.

Dengan perasaan yang begitu gembira orang itu berkata: “Ya Allah, jika begitu aku segera memaafkan dia, terhadap apa jua kezaliman yang telah dilakukan kepada saya,” ujar manusia itu.

Lalu Allah SWT memerintahkan agar malaikat membawa orang itu ke dalam mahligai yang terbina di sebuah syurga dari perak, kemudian Allah SWT mengizinkan orang itu membawa bersama taulannya memasuki syurga itu.

Dipetik daripada buku berjudul Insan, Ingatlah! karangan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

1 Comment

Filed under 1

Air

Air merupakan satu nikmat Allah Taala yang tidak terperi pentingnya bagi setiap hidupan sama ada manusia, tumbuhan dan juga mikroorganisma. Manusia sejak dari peringkat benih lagi (sperma) memerlukan air untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Manusia perlu mengakui hakikat Allah sebagai Al-Khaliq kerana pada hakikatnya setinggi manapun ilmu manusia, mereka masih belum mampu untuk mencipta air ini. Walaupun komposisi kimia sudah kita ketahui (H20) tapi bolehkah kita mencipta sumber air sendiri sebanyak air di lautan, sebanyak air di sungai, tanpa mengharapkan sumber-sumber semulajadi seperti sungai, tasik dan sebagainya!Bahkan unsur oksigen dan hidrogen itu sendiri adalah ciptaanNya.

Firman Allah S.W.T,

….demikian juga Allah menurunkan daripada langit air yang dengannya dihidupkan bumi (tumbuhan)  selepas matinya…

(Al-Baqarah 164)

Bumi(tanah) memerlukan air supaya segala unsur nutrient seperti kalsium, nitrate, potassium dan sebagainya yang terkandung di dalamnya dapat diambil oleh akar-akar tumbuhan. Unsur-unsur tersebut mesti berada dalam bentuk ion supaya dapat ditukar ganti dengan ion hidrogen ataupun ion hidroksida daripada tumbuhan.

Bagi biji benih, ia akan berada dalam keadaan ‘dormant’ (tidak berlaku sebarang pertumbuhan) selepas dihasilkan daripada tumbuhan atau selepas disebarkan oleh agen penyebaran biji benih (angin, haiwan, serangga dsb) sehingga kehadiran air memecahkan keadaan dormansi resebut. Air akan diserap oleh biji benih dan ia akan mula bercambah menjadi satu generasi yang baru.

Begitulah kebijaksanaan Allah taala dalam merencanakan sesuatu yang semuanya demi kebaikan manusia seluruhnya. Marilah kita sama-sama mensyukuri nikmat yang agung ini dengan menggunakannya dengan sebaik-baiknya tanpa melakukan pembaziran dan sentiasalah bertasbih dan bertahmid kepadaNya.

Wallahuaalam.

Leave a comment

Filed under Uncategorized

Muqaddimah

Bismillah Ar-rahman Ar-rahim..

Ku mulakan langkah untuk mengisi ruangan siber ini
Sebagai satu wadah untuk berkarya

dan
sebagai insan yg masih jahil
mengharapkan pandangan dan teguran

dan
untuk bersilaturrahim juga saling kenal-mengenali

Leave a comment

Filed under Uncategorized